Monday 5 May 2014

Past - Enam Orang Bangang

Aku ada ramai kawan. Kawan kelas, kawan tuisyen, kawan masa seminar, kawan kepada sepupu-sepupu aku, kawan satu kawasan perumahan. Tapi yang aku rasa betul-betul aku boleh percaya, 5 orang je. And yes, kami selalu lepak berlima je macam beluncas, dan kami tak rasa kami perlukan nama kumpulan untuk kekalkan persahabatan yang sangat jitu. Lepak mamak berenam, ponteng berhimpunan berenam, menganjing orang pun berenam. Tapi dalam enam orang tu, Rosdi seorang sahaja yang tahu pasal kebolehan aku. Kenapa? We'll get to that later, bak kata Ted Mosby.

Kumpulan kami terdiri daripada 6 orang termasuk aku dan Rosdi. Selain kami berdua, ada Jakbo, Poji, Azli dan Ketam.

Jakbo, atau nama betulnya Jaafar, seorang yang tidak gemar akan namanya sendiri. Kalau ikut maksud nama pada Jaafar, maksudnya anak sungai. That wasn't so bad. Alasan dia tidak gemar akan namanya sendiri adalah kerana namanya itu sama dengan nama seorang selebriti tempatan iaitu Jaafar Onn. Tak munasabah langsung alasan, tapi takpe. Jaafar merupakan seorang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang tidak terpisah dengan baju ungunya itu. Ironinya, seorang PRS sepatutnya bersikap cheerful dan terbuka untuk membantu rakan-rakan yang lain. Sepatutnya lah. Tapi si Jakbo ni lain kes. Dia ni seorang yang agak pendiam, tak banyak benda dia kongsi dengan kitorang. Even dia ada makwe sekalipun, dia tak akan hebahkan kat kitorang. Teori ni kami buat setelah Poji berjaya menjumpai beberapa gambar Jakbo bersama gadis bertudung yang agak comel orangnya.

Poji, satu-satunya member dalam kumpulan kami yang paling pintar dalam pembelajaran. Dia ni bagus budaknya. Kalau kata kitorang tengah lepak, dia orang pertama yang akan ajak solat. Yang lain masing-masing dah terleka dalam permainan duniawi yang melalaikan ini, cewah. Setiap kali study group, dia yang akan mengetuai kami dengan memberi tunjuk ajar dan menjawab soalan yang tahap gampang punya susah. Namun begitu, dia tidak dikategorikan sebagai pelajar harapan guru disebabkan perangainya yang malas nak hantar kerja sekolah. Oleh itu, para guru akan memandang rendah terhadapnya dan akan terkejut dengan resultnya setiap kali exam. Pendapatnya, belajar dengan ikhlas dan penuh kerelaan lagi masuk otak kalau dibandingkan hari-hari nak buat homework yang kita buat secara paksa (tak pun tiru budak-budak perempuan). Dia ni kiranya pelajar harapan yang under rated la. Yang peliknya si Poji ni, dia hari-hari menghabiskan masa yang banyak untuk main game online di rumah. Tapi keputusan celaka punya cemerlang. Kalau aku sendiri pun mencarut bila describe result dia, kau faham-faham je lah tahap pandai dia macam mana. Pernah sekali dia kasi tips, main FIFA online dari pukul 11 sampai pukul 2, lepas tu study dalam setengah jam dan masuk tidur. Boleh berjaya ke macam tu?

Azli, seorang remaja yang mengikuti perkembangan semasa. Yes, dia sangat trendy. Bukan sahaja dari segi pemakaian, malah dari segi bahasanya di media sosial, dari cara dia berkomunikasi di media sosial, dan cara dia main media sosial. And yes, dia dan laman sosial berpisah tiada. Kau sebut sahaja. Instagram, WeChat, Twitter, Facebook, Whatsapp, Kakao, BeeTalk, Viber, Telegram, semua dia ada. Yang aku pelik memory henfon dia tak habis pulak application banyak kemain. Bukan itu sahaja, dia juga sangat addicted dengan mukanya sendiri, sampaikan nak ke kedai runcit Mak Biah pun dia akan berselfie dahulu. Dia juga memiliki Iphone 4s, sebatang monopod, lensa fish-eye dan 2 bijik powerbank. Kau boleh nampak dia punya trendy macam mana, kan? Dan untuk menambah lagi tahap trendy dia, dia amat menggemari lagu-lagu Kpop. Boleh kata setiap lagu dalam henfon dia memang kau tak akan faham sepatah haram liriknya. Atas dasar ini, dia selalu kena bahan setiap kali kami lepak berenam. Si Ketam yang lembut tu pun tak dengar lagu Korea, kau tahu? Yang bagusnya, dia takde pun kecik hati ke apa. Professional sungguh. Aku bukan benci mana pun Kpop ni, cuma aku meluat tengok orang yang tergila-gila sangat kat artis Korea ni, sampaikan sanggup nak pindah Korea carik laki kat sana. Kepala hotak kau. Tapi satu advantage si Azli ni, dia merupakan seorang yang aktif beriadah dan bersukan. Badan tough boleh la. Dia juga merupakan wakil sekolah dalam beberapa acara macam lari berpagar dan bola sepak. Kerana itu, dia menjadi satu-satunya ahli geng kami yang digilai para junior. Nasib baik dia ni jenis yang nak berkongsi nombor fon awek dengan kitorang, dapat jugaklah berkenalan dengan dua-tiga orang junior comel.

Ketam, atau nama sebenarnya Hussein. Nama bukan main gagah, tapi disebabkan personalitinya, kami bersepakat memanggil dia Ketam hinggakan panggilan ini diikuti oleh budak-budak kelas. Kenapa ketam? Macam ni, Hussein ni sebenarnya lembut orangnya. Sopan santun, ayu, tapi ciri-ciri tu kan sepatutnya ada dekat perempuan? So sebenarnya Hussein ni mempunyai sedikit kekeliruan jantina, tapi takdelah sampai tahap nak jadi pondan atau gay. Sekadar bahasa tubuh dan bahasa lisannya yang bersikap sedikit keperempuanan, membuatkan kebanyakkan budak kelas tak selesa berborak dengan dia. Tapi tidak bagi kami. Kami tak judge orang. Kami tahu yang Hussein bukannya nak jadi macam ni, cuma gene bersikap perempuan tu terlebih sikit kat badan dia, barangkali. Tapi sepanjang kami lepak dengan dia, kami boleh nampak effort dia yang sedaya upaya untuk menjantankan bahasanya. Bagus lah tu, moga usahanya berhasil. At least dia dah cuba untuk berubah menjadi yang lebih baik. Kesian dia, bukan semua orang boleh terima dia. Tapi selembut si Ketam ni pun, aku suka citarasa musik dia. Tak macam Azli, entah apa-apa entah. Ketam menggemari band-band tempatan, juga luar negara. Kau sebut je. Hujan? Bunkface? Azlan dan mesin taip? Paramore? Slipknot? Semua dilayannya. Kira dari segi musik, aku boleh geng la dengan mamat ni. Oh, lupa. Kenapa ketam? Sebab dia ni kuat mencubit. Pernah kami tegur dia pasal habit mencubit ni, sebab bagi kami habit ni agak cenderung kepada feminism. Real man doesn't pinch, they punch.

Terakhir sekali, Rosdi.

Rosdi ni kiranya member terpaling rapat sekali bagi aku. Persetankan kesalahan tatabahasa, aku nak tunjuk betapa rapatnya aku dengan dia kat korang je. Tapi belum di tahap gay, ya. Takde makna aku nak berpartner gay dengan orang huduh macam dia. Kami kenal dari sekolah rendah, dan mulai rapat masa sekolah menengah. Entah apa yang kami sombongkan sangat masa sekolah rendah dulu pun aku tak tau. Rosdi ni tau segala macam rahsia aku, dan aku pun tahu segala macam rahsia aku (even yang dia tak bagitau aku pun, aku akan tau. Dan dia okey pasal kuasa aku). Dari tingkatan dua sampailah sekarang dah tingkatan lima, kami sentiasa bersama mencari kaum hawa di sekolah itu untuk dijadikan makwe. Dan dari tingkatan dua sampailah tingkatan lima, tiada seorang pun daripada kami berdua yang berjaya mengorat walau seorang pun awek. Masing-masing dah ada boyfriend. Bahalol. Aku selesa berkongsi dengan si Rosdi ni, sebab aku percaya kat dia. Aku percaya yang dia tak kan betray aku dalam semua aspek (kecuali kalau aku dapat awek cun, mungkin ada possibility yang dia akan cuba mengayat awek aku). Si Rosdi ni dari luaran je nampak bangang, tapi dari apa yang berlaku dari masa silam dia, kau tak kan berani cakap macam tu. Dalam dunia ni, hanya kami berlima yang layak memanggil Rosdi ni bangang. Orang lain tak kan berani.

Kenapa? Meh aku visualise apa yang jadi masa tingkatan satu.

Masa tu Rosdi tengah beli ice blended dekat kedai depan sekolah (yes, depan sekolah kami ada gerai ice blended. Jealous, bukan?). Tiba gilirannya untuk order ice blended idamannya, datang 3 budak setan menolaknya ke tepi. "Berambus!" kata setan paling pendek, lebih pendek dari Rosdi. Dia disokong oleh seorang lagi geng setan yang muka penuh berjerawat. Offensive gila ayat, kalau orang DBP baca ni, mengucap panjang beliau.

"Makcik! Nak perisa Oreo tiga! Yang besar!" kata budak yang muka paling pailang (yang Rosdi anggap ketua bagi kumpulan tiga setan tu) dengan nada yang langsung tak hormat orang tua langsung.

Makcik pembuat ice blended itu memandang Rosdi yang sudah keluar dari barisan sebab kena tolak, dengan renungan yang serba salah. Rosdi sekadar tersenyum. "Takpelah makcik, buat je diorang punya dulu." Rosdi bersikap professional. Terngiang-ngiang kata keramat dari ibundanya "Biar orang buat kita, jangan kita buat orang"

Dengan kadar segera makcik ice blended tu membuat pesanan tiga ekor setan tu. Barusan dia ingin masuk semula ke dalam barisan, si setan pendek menolaknya sekali lagi. "Aku cakap berambus kan?"

Otak Rosdi kini sarat dengan kata kesat "Pukimak punya pendek. Celaka betul bangang tiga ekor ni. Mak bapak mati muda ke sampai kurang kasih sayang macam ni." Tapi kata-kata itu sekadar dilafaz dalam hati sahaja. Monolog.

Ramai budak-budak lain memandang Rosdi dengan penuh simpati. Sedang Rosdi mengalah dengan berjalan meninggalkan tempat itu, si setan jerawat pula mencari pasal dengan membaling seketul batu kecil ke arah Rosdi. "Blah la! Pengecut!"

Rosdi tidak tahu apa sebenarnya dendam tiga ekor setan tu dengannya. Adakah kerana cikgu BM yang jelita iaitu Cikgu Anita telah memberinya coklat Cadbury tiga bijik disebabkan attitude Rosdi yang baik dan gemar membantu orang lain? Mungkin juga. Rosdi sudah mahu meletup, tapi amarahnya masih dikawal. "Jangan paksa aku lah, sial!" Budak-budak lain yang berada di situ tersentak. Pertama kali agaknya mendengar Rosdi mencarut, sebab selama ni sikap si Rosdi ni memang terpuji.

"Budak skema ni pun pandai mencarutlah, kawan-kawan! Hahahaha!" kata si muka pailang pula setelah ice blendednya siap. Lame sungguh personalitinya, satu - sebab dia masih guna phase "kawan-kawan" dan dua - dia gelak berdekah-dekah dengan member setannya. Rosdi, bukan sahaja Rosdi malahan aku jugak tak faham. Kenapa watak antagonis sentiasa kena ketawa? Bukan dalam situasi ini sahaja, malah dalam drama melayu juga, orang yang menindas sangat suka ketawa. Kenapa ya?

Si setan pendek pula ingin menyambung hujah offensive. "Dia dah terikut-ikut perangai kakak dia agaknya! Kakak dia kan layan laki! Kahkahkah!" Kakak kepada Rosdi bukanlah seorang pelacur, cuma dia mempunyai ramai boyfriend, meskipun umurnya hanya setahun tua dari Rosdi.

Rosdi genggam buku limanya erat. Pukimak-pukimak ini tak boleh dibiarkan hidup, otaknya berhasut. Tak boleh jadi. Kini otaknya tidak lagi berfikiran rasional. Untuk seketika, Rosdi terasa numb. Satu kuasa mula bangkit dalam dirinya.

Si muka pailang nampaknya masih belum berpuas hati dengan Rosdi yang dah macam bom jangka masa sekarang. Diambilnya seketul lagi batu yang saiznya besar sedikit dari tadi dan dilemparnya laju ke arah Rosdi.

Tanpa dijangka, Rosdi dapat tangkap batu yang halajunya rendah sedikit dari peluru, dan melemparkannya semula dengan kuat. Tepat ke arah dahi si muka pailang. Lajunya balingan si Rosdi mengakibatkan dahi si muka pailang berdarah, dan pitam.

"Blah, blah!" si setan jerawat mula cemas, mengajak si setan pendek untuk lari melihatkan Rosdi dalam mod begitu.

Bagai disampuk setan, Rosdi berlari laju ke arah mereka berdua. Dari jarak yang sudah makin hampir dengan mereka, Rosdi melompat ke arah si setan jerawat. Dari belakang, dia menolak kepala si setan jerawat hingga wajahnya mencium bumi. Darah memancut deras dari hidung si setan jerawat, mungkin hidungnya sudah patah. "AARGGHHH!!" jerit si setan jerawat. Si muka pailang sudah senyap dari tadi. Sama ada pengsan atau mati, Rosdi tidak peduli. Otaknya sekarang kosong. Rosdi tidak dapat berfikir apa yang sedang dia lakukan. Dalam dirinya kini hanyalah adrenalin yang deras dan amarah yang menggila.

Rosdi kemudiannya mendapatkan si setan pendek yang sudak terpacak di situ akibat tergamam dengan nasib dua orang rakan setannya itu. Dalam kalangan mereka bertiga tadi, si setan pendek inilah yang paling kuat sembang. Rosdi menendang kuat dada si pendek itu hingga dia rebah. Si pendek terbatuk-batuk, batuk berdarah. Mungkin ada tulang rusuknya sudah patah akibat tendangan tadi. Ini bukannya tahap kekuatan budak tingkatan satu. Ada benda lain yang mengawal Rosdi ketika ini.

Tidak cukup dengan tendangan padu tadi, Rosdi menumbuk pula muka si pendek itu hingga berlumuran darah. Barangkali bibir si pendek itu sudah pecah. Baguslah, takde dia bising lagi lepas ni. Tumbukan Rosdi berterusan. Tidak berhenti sampailah dua-tiga orang pelajar lelaki menariknya dari si pendek yang sudah nyawa-nyawa ikan itu. "Sudahlah! Kau nak dia mati ke baru kau puas hati?" kata salah seorang daripada pelajar itu.

Selepas kejadian itu, ketiga-tiga orang pelajar itu dikejarkan ke hospital. Si muka pailang sekadar berbalut di dahi. Si jerawat pula mengalami sedikit masalah konklusi di mindanya akibat hentakan kuat di bahagian kepala. Manakala si pendek pula ditahan di dalam wad sehingga hujung tahun itu. Kerana mulut badan binasa, kan?

Rosdi pula digantung sekolah selama sebulan. Sebenarnya, tindakannya itu sudah cukup untuknya diberhentikan dari sekolah. Tapi nasibnya baik kerana bapanya merupakan seorang ahli politik yang berpengaruh dan telah banyak melabur untuk pembangunan sekolah itu, oleh itu Rosdi sekadar digantung. Bapa Rosdi juga telah disaman oleh dua daripada parents geng setan itu kerana kecederaan yang dialami oleh anak mereka bukan biasa-biasa.

Sejak itu, Rosdi dipandang serong oleh kawan-kawannya. Tak ramai yang mahu berbual dengannya, malah tidak ada seorang pun yang boleh dia panggil kawan. Ada juga orang memanggilnya "Ruthless Rosdi" dan "Raksasa Rosdi" di belakangnya, tapi Rosdi sekadar mengendahkan mereka. Dia tidak mahu sejarah lama berulang kembali. Cikgu Anita yang dulunya memuji pekerti Rosdi juga kini tidak begitu selesa mengajar Rosdi. Kesian beliau.

Ketika tingkatan dua, si Rosdi berjaya naik ke kelas 2 Bijak iaitu kelas kedua dalam tingkatan. Dan masa itulah aku berkenalan dengannya. Aku lihat sejarah silamnya, dan aku bersimpati. Bukan salah dia.

Aku hulurkan tangan. "Kemal. Panggil aku Mal pun takpe."

Rosdi kelihatan bingung. "Kalau aku salam ni maknanya kita jadi kawan lah, kan?" soalnya ikhlas. Dia sedikit kekok, mungkin dah lama tak ada kawan.

"Why not?"

Kami bersalaman, dan untuk beberapa tahun sampailah sekarang. Rosdi masih member aku yang paling rapat. Yang lagi 4 orang tu pun rapat jugak, diorang tu aku kenal masa form 4. Semua jenis otak masuk air, aku layankan jelah. Tapi Rosdi masih wingman aku.

Sengaja aku buat satu entri khas untuk geng kami enam orang. Sebab setiap seorang daripada kami merupakan watak penting bagi catatan ini.

No comments:

Post a Comment